Jumaat, 2 Mac 2012

Kisah Adab Berguru( Zaharuddin Abd. Rahman)


HAK ANDA ATAU SAYA ?
Sedang khusyuk saya menjawab soalan pelajar dan menerangkan perihal pecahan aqad di dalam Fiqh Muamalat, tiba-tiba .
"Ustaz, maaf , hak kami adalah untuk berehat 10 minit"  tegas pelajar yang sama dahulu.
Kali ini saya cukup terasa.
Saya merasakan biadapnya pelajar ini.
"Anda salah" kata saya
"Tiada hak anda untuk berehat 10 minit, jangan sesekali mendakwa ia HAK anda. Ia adalah hak saya sama ada untuk berikannya atau tidak" 
"Malah ingin saya ingatkan, anda semua dengan adab menuntut ilmu, jika anda berfikir kelas ini adalah sebagai satu perniagaan, anda pelanggan kerana membayar yuran dan saya tukang jual, anda tersilap, mungkin anda boleh berfikiran sedemikian jika ini bukan pengajian Islam, namun dalam pengajian Islam unsur barakah sewaktu pengajian amat penting"
"Anda semua ini, merupakan bakal-bakal imam, qadhi dan mufti di negara anda, tiba-tiba sibuk dengan 10 minit rehat, mengabaikan adab majlis ilmu, adakah anda rasa anda boleh berjaya dengan sikap begini" Celoteh saya dengan separuh marah.

Saya marah dengan sikap bakal-bakal pendakwah ini, datang ke Institut untuk mempelajari ilmu Islam, namun dibawa sikap dan adab tidak Islam. Tidak hormati guru dan majlis ilmu.
Seorang pensyarah dan pakar hadis di Universiti Al-Yarmouk dahulu sangat sensitif dengan adab dalam majlis ilmu, sehingga jika terdapat pelajar yang menyilangkan kaki sewaktu duduk (di dalam kelas) akan dimarahinya, paling tidak akan disindirnya secara tajam.  
Ada pula guru yang membalingkan pen kepada pelajar yang tidur dan macam-macam lagi.
Malangnya, guru yang ingin mendidik ini berhadapan dengan karenah pelajar yang kurang adab.
Terhakis sungguh adab menuntut ilmu, tiada lagi penghormatan kepada guru, saya sering teringat bagaimana para pensyarah Islam di pelbagai institusi pengajian dicemuh dan dikutuk oleh pelajarnya tanpa sebab yang haq.
Cara berinteraksi dengan guru juga semakin jauh dari adab murid dan penuntut ilmu.
Sebaliknya pensyarah yang memberikan soalan bocor, bermudah-mudah, selalu memberi waktu rehat, mungkin dianggap hero dan favourite. Tidak ketinggalan sebahagian rakan-rakan sepengajian saya ketika di Jordan yang suka mengutuk pensyarah di luar kelas. Malah ada yang dituduhnya sebagai zalim hanya kerana tidak memberikan soalan-soalan jangkaan.
Padahal yang memberikan soalan bocor itulah yang zalim dan mengkhianati amanah.
Allah swt pernah menggambarkan bagaimana adab penuntut ilmu di hadapan gurunya :-
قَالَ فَإِنِ اتَّبَعْتَنِى فَلاَ تَسْأَلْنى عَن شَىءٍ حَتَّى أُحْدِثَ لَكَ مِنْهُ ذِكْراً
Ertinya : Berkata Khidr (selaku guru), jika kamu ingin ikutiku maka jangan kamu bertanya apa-apa sehinggalah aku menceritakannya kepadamu " ( Al-Kahfi, 70)
Imam az-Zamakhshari berkata :
وهذا من آداب المتعلم مع العالم والمتبوع مع التابع
Ertinya : Inilah sebahagian dari adab penuntut ilmu bersama gurunya, pengikut dengan yang diikutinya" ( Al-Kasyyaf, 2/686)
Namun ini tidaklah bermakna, anda tidak boleh bertanya apa jua semasa guru mengajar, apa yang perlu adalah ‘minta izin' dan menunggu guru menamatkan percakapannya.
Adab-adab penuntut ini sangat ditekankan oleh ulama silam sehingga Imam Al-Ghazzali menyebut :-
ومهما أشار عليه المعلم بطريق في التعلم فليقلده وليدع رأيه فإن خطأ مرشده أنفع له من صوابه في نفسه
Ertinya : Apapun yang diterangkan oleh guru semasa pengajian maka hendaklah (penuntut) mengikutinya dan meninggalkan pandangan peribadinya, kerana kesilapan sang guru lebih bermanfaat dari apa yang mungkin benarnya apa yang datang dari dirinya (penuntut)" ( Ihya 'Ulumiddin, 1/50)
Tidak dinafikan kita boleh berhujjah, berdiskusi  dan mengkritik pendapat Imam Al-Ghazzali di atas, namun sefaham saya ia dibuat dalam konteks penekanan keperluan menghormati guru, meyakini ilmunya dan adab-adab penuntut ilmu di hadapan guru.
Sebagai murid atau penuntut, jika anda tidak bersetuju dengan sesuatu pendapat guru, anda boleh berbincang dengan guru secara tertutup, mengemukakan hujjah anda dalam bentuk yang beradab dan tenang serta menjaga air muka serta menghormati tarjihan sang guru.
Ramai saya temui, penuntut yang menampilkan hujah seolah-olah si guru tersebut tidak tahu. Ramai penuntut yang baru khatam dua tiga buah kitab, merasakan diri lebih bijak dari gurunya.
Jika ada yang mengatakan, "memang hakikatnya murid itu lebih bijak dari gurunya" atau  "murid tidak yakin guru itu lebih tahu dari dirinya",
Nescaya ketika itu, murid itulah yang KURANG BIJAK, salah dan kurang berilmu, iaitu kerana dia perlu memilih guru, lalu kenapakah memilih guru yang diyakini kurang ilmu berbanding dirinya ?. Malah sebenarnya, individu yang merasakan dirinya berilmu adalah tanda dia belum cukup berilmu. Ye, sepatutnya, walau siapapun guru, walau terbukti sang guru 'kurang ilmu', namun anak murid yang pandai tetap akan beroleh manfaat dan ilmu baru dari guru tersebut, banyak cara dan bentuknya. 
Imam Malik Bin Anas dan Muhammad Ibn Sirin berkata :-
العلم دين فانظروا عمن تأخذون دينكم
Ertinya : Ilmu itu agama, maka telitilah dari siapa kamu ambil ilmu agamamu" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)
Lihatlah contoh anak murid Imam Syafie Rabi yang berkata :-
وقال الربيع صاحب الشافعي رحمهما الله ما اجترأت أن أشرب الماء والشافعي ينظر إلي  هيبة له
Ertinya : Berkata Rabi', murid dan rakan SYafie, aku tidak berani meminum air sedangkan Imam Syafie sedang memandang ke arahku, merasakan kehebatannya" (Tibyan fi adab hamla al-quran, 1/25)
Malah penuntut ilmu Islam di zaman silam amat menghargai gurunya sehingga mereka sering berdoa :-
اللهم استر عيب معلمي عني ولا تذهب بركة علمه مني
Ertinya : "Ya Allah, tutuplah aib guruku dari penglihatanku dan janganlah hilangkan berkat ilmunya dariku"

Khamis, 1 Mac 2012

Adab Dengan Guru


Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.  

Islam amat menitikberatkan adab seorang murid terhadap gurunya. Adalah menjadi suatu kewajipan bagi kita untuk hormat kepada guru meskipun mereka tidak lagi mengajar kita. Seorang guru sudah pasti mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang sesuatu bidang sehingga mampu mengajar orang lain. Oleh sebab itulah menghormati mereka adalah dituntut oleh syarak sebagaimana firman Allah S.W.T :
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." (An-Nisa' :59)
Pernah diceritakan tentang Imam Syafie menghormati gurunya. Pada suatu hari, sedang beliau memberi kuliah kepada ribuan pelajar-pelajarnya, masuklah seorang badwi yang amat comot serta amat busuk sekali.
Melihat sahaja badwi itu masuk, Imam Syafie lantas berhenti daripada memberi kuliah dan mendekati badwi itu serta memeluknya dengan erat. Tergamam anak muridnya melihat perlakuan Imam Syafie itu. Selesai sahaja memberi kuliah, maka bertanyalah anak muridnya kepada Imam Syafie mengapa beliau memeluk badwi tersebut.
Imam Syafie berkata bahawa walaupun badwi itu busuk dan comot, tetapi badwi itu ialah gurunya. Sebab itu dia memeluk badwi tersebut sebagai cara menghormati guru. Makin terpegun pelajar-pelajarnya apabila diberitahu tentang badwi yang jahil itu menjadi guru Imam Syafie.
Jawab Imam Shafie " Pada suatu hari, sedang aku menulis kitab fekah , aku mempunyai satu masalah iaitu bagaimanakan nak mengenali dan membezakan di antara anjing yang cukup umur dengan anjing yang belum cukup umur. Lalu aku fikir tentu badwi tahu kerana badwi banyak memelihara anjing untuk mengawal kambing-kambing mereka.
Aku pun bertanya hal tersebut kepada badwi yang kupeluk tadi. Badwi itu menerangkan anjing yang cukup umur mengangkat sebelah kaki belakang apabila kencing, manakala anjing yang tidak cukup umur tidak mengangkat kakinya bila kencing. Dengan panduan badwi itulah, maka aku dapat menyiapkan kitabku itu" Begitulah ceritanya. Walaupun terlalu sedikit jasa badwi itu kepadanya, Imam Shafie amat menghargainya dan menghormati sehingga menggelarnya guru.


Ulama terdahulu tidak pernah sama sekali menggelar guru mereka dengan nama yang buruk. Bahkan mereka juga tidak pernah memanggil guru dengan panggilan "engkau" dan "awak".  Al-Khatib berkata: Hendaklah dia berkata "Wahai guru, apakah pendapat kamu mengenai hal ini?" dan kata-kata seumpamanya. Dan tidak menggelarkannya dengan namanya kecuali disertakan dengan gelaran-gelaran yang menunjukkan penghormatan serta takzim kepadanya. Misalnya syeikh ataupun ustaz atau syeikh kami.

Mereka tidak sekali-kali berbantah-bantah ataupun berlawan cakap dengan guru. Sesungguhnya berbantah-bantah itu secara umumnya sudah merupakan suatu perbuatan yang keji dan terlarang, apatah lagi untuk berbantah-bantah dengan guru yang merupakan pembimbing serta qudwah. Perbuatan ini akan menjauhkan mereka sebagai pelajar daripada kebaikan dan merupakan penjerumus kepada kejahatan dan ianya adalah penyebab diharamkan ke atas mereka bermacam-macam bentuk kebaikan.


Jika mereka berhajat kepada guru mereka di luar waktu mengajar sedangkan guru tersebut sedang berehat ataupun tidur, maka guru itu tidak akan diganggu. Mereka akan menunggu sehingga guru tersebut terjaga dari tidur ataupun selesai dari berehat. Ibnu 'Abbas r.a pernah mendatangi salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w untuk bertanya kepadanya mengenai suatu hadith. Lalu dikatakan kepadanya: Dia sedang tidur. Maka duduklah Ibnu 'Abbas di muka pintu. Lalu dikatakan kepadanya: Tidak perlukah kita mengejutkannya? Ibnu 'Abbas pun menjawab: Jangan.


Menurut Imam al-Ghazali seseorang murid hendaklah:
• Memberikan sepenuh perhatian kepada gurunya.
• Mendiamkan diri sewaktu guru sedang menyampaikan pelajaran.
• Menunjukkan minat terhadap apa yang disampaikan oleh guru.
• Tidak meninggikan suara terhadap guru, sebaliknya memadailah berkata dengan suara yang didengari.
• Sekiranya perlu bertanya, pastikan guru bersedia memberikan jawapan.
• Menghormati guru di hadapan dan belakangnya.
• Menutup kelemahan guru agar tidak didedahkan tanpa keperluan.
• Mendoakan kebaikan baginya.

Siapakah kita hari ini? Semuanya bermula daripada seorang guru.